Bagaimana mendapatkan klien coaching pertama anda

Tips yang saya kongsikan ini diambil daripada laman web International Coach Federation. Rujuk pautan di akhir artikel untuk melihat artikel asal.

Sebagai seorang coach, tugas mendapatkan klien bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi bagi coach yang baru nak berjinak-jinak di dalam bidang ini.

Ramai juga yang berputus asa sebelum memperoleh klien pertama. Masalah utama selalunya adalah tak tahu nak mula dari mana. Bukannya sebab tak tau apa cara nak buat, tapi sebab banyak sangat cara tapi tak tahu mana satu yang boleh membawa kepada hasil yang dikehendaki.

Tak kurang juga ramai yang saya lihat dah berbelanja sejumlah wang yang tidak sedikit untuk membangunkan laman web, logo, branding,  mahupun business card, tapi masih tak berjaya mendapatkan klien. Ataupun ada juga yang dah siap keluar duit beli ebook “Bagaimana menjadi Coach jutawan dalam masa 10 saat tanpa perlu ada pengalaman menjadi Coach.” (Hmm….)

Apa kata kita tengok balik perkara asas.

Kaedah untuk mendapatkan klien coaching anda bertitik tolak dari tiga prinsip:

  1. Coaching adalah tentang perbualan anda dengan klien
  2. Perbualan berlaku di antara dua pihak
  3. Manusia berkembang dengan hubungan sesama mereka

Kamus Oxford memberikan definisi perbualan seperti berikut:

Percakapan tidak formal antara dua orang atau lebih, di mana berita atau idea bertukar antara satu sama lain.

Perbualan dalam konteks coaching pula boleh kita definisikan lebih khusus seperti berikut:

Perbualan yang bermakna, berobjektif, di mana coach menetapkan agenda untuk klien, coach mendengar dengan baik, dan coach bertanyakan soalan-soalan yang berimpak tinggi untuk membantu klien mencapai hasil yang dikehendaki.

Daripada 3 noktah di atas tadi, kita dapat simpulkan kepada 3 kata kunci:

  1. Perbualan
  2. Manusia
  3. Perhubungan

Jika anda mahu menjadi seorang coach, anda tidak dapat lari daripada berhubung dengan manusia, dan berbual dengan manusia.

Seorang mentor bernama Rich Litvin, pengarang bersama sebuah buku bertajuk “The Prosperous Coach” berkata,

Gunakan perbualan, jadualkan perbualan, jadikan hari anda tentang bagaimana anda mencipta perbualan anda yang seterusnya, dan anda akan memperolehi klien. Semua persetujuan untuk mendapatkan khidmat coaching berlaku di dalam perbualan. Jika anda benar-benar fahami perkara ini, maka perkara seterusnya yang harus anda lakukan adalah mencipta lebih banyak perbualan. Ia lebih baik daripada anda memeriksa emel 50 kali sehari, menulis blog, berfikir samada anda harus menulis buku, dan sebagainya. Semua ini tidak memberikan kita klien berbanding kita mencipta lebih banyak sesi perbualan dengan seseorang yang berpotensi menjadi klien.

Jadi itulah dia caranya bagaimana mendapatkan klien pertama anda. Berhubung dengan manusia, dan cipta perbualan.

Jika anda mahu lebih spesifik, berhubung dengan SEORANG MANUSIA DALAM SATU MASA, dan cipta SATU PERBUALAN DALAM SATU MASA.

Tentulah kan?

Anda tak boleh berada dalam lebih dari satu perbualan dalam satu-satu masa. Perkara ini juga boleh mengurangkan tekanan dan anda mampu memberikan lebih kualiti dan perhatian sekiranya anda fokus kepada satu orang dalam satu-satu masa.

Sumber: https://coachfederation.org/blog/index.php/3207/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *